Kes Penangkapan Nor Misuari_suatu pandangan yang rasional
Saya tertarik untuk berkongsi pandangan tentang penangkapan Nor Misuari ,mantan Gabenor Wilayah Autnomi Mindanao Flipina oleh Polis Malaysia beberapa hari lalu. Apa yang menghairankan ialah betapa mudahnya seorang yang berkuasa seperti beliau mudah tertangkap. Dengan situasi kebanjiran pendatang tanpa izin di Sabah khasnya, perkara ini memang agak istimewa kerana rata-rata kes jenayah yang melibatkan pendatang tanpa izin (PTI) amat sukar diselesaikan. Antara faktor menyebabkan fenomena ini berlaku ialah semangat setiakawan dan kerjasama antara mereka walaupun ada di antara mereka ini telahpun mempunyai taraf Penduduk Tetap. Sikap seperti inilah yang menyukarkan pihak polis menyelesaikan kes-kes jenayah. Berbalik kepada isu Misuari ini, tidak dinafikan kecekapan polis banyak membantu insiden penahanan Misuari. Namun,saya berpendapat bahawa ia tidaklah begitu mudah dilakuan kiranya tidak ada pihak-pihak yang terlibat khususnya PTI. Saya cukup yakin semua ini berlaku kerana ada sesetengah PTI yang berpaling tadah mendedahkan ketibaan dan kedudukan Misuari. Sementelahan lagi, kedudukan geografi Sabah menyukarkan pendaratan PTI untuk dikesan. Secara ringkasnya, Misuari sejak dari awal telah disabotaj rakan -rakan mahupun negaranya sendiri.
Tulisan ini bukanlah untuk menegakkan benang yang basah namun ia sekadar untuk membuka mata masyarakat akan wujudnya elemen -elemen yang cuba memecahbelahkan umat Islam seluruh dunia melalui suatu rangkaian global. Mereka ini cuba memberi gambaran yang salah tentang Islam. Islam digambarkan sebagai agama penegak keganasan dan umatnya sebagai pengganas. Berbalik kepada isu Misuari, beliau dituduh sebagai pemberontak namun mungkin semua lupa bahawa suatu ketika beliau pernah menegakkan dan mengembalikan keunggulan Islam di selatan Filipina. Tuduhan bahawa beliau menyalahgunakan kuasa mungkin terlalu dangkal dan serkap jarang. Sejak dahulu,selatan Filipina cuba menuntut kemerdekaan daripada Filipina namun ia gagal dan ia cuma diberi taraf wilayah autnomi dengan Misuari sebagai Gabenor pertama. Itupun setelah ada campurtangan antarabangsa dengan penglibatan aktif Malaysia. Walau bagaimanapun, dikatakan Misuari gagal menjalankan amanahnya dengan sempurna. Selatan Filipina masih dibelenggu kemiskinan,mengapa? Salah satu faktornya memanglah salah tadbir dan salahguna kuasa namun ia bukanlah faktor tunggal dan utama mengapa selatan Filipina masih terkebelakang.
Beberapa ketika dahulu kita didedahkan akan keengganan Manila untuk membantu walaupun pentadbiran selatan Filipina bertungkus lumus cuba membangunkan wilayah tersebut. Kalaupun ada bantuan, ia terlalu sedikit dan lambat disalurkan walaupun Manila mendakwa wilayah berkenaan tetap diberi tumpuan sebagaimana wilayah lain. Misuari jarang berada di wilayah tersebut mungkin untuk memujuk Manila untuk lebih bersikap terbuka dan saksama dan ini disalahtafsir. Pastinya kita masih ingat bagaimanan Manila agak keberatan untuk memberi kebebasan kepada wilayah tersebut walaupun cuma autonomi sehingga negara-negara ASEAN khasnya Malaysia sendiri campur tangan. Walaupun setelah diberi taraf autonomi namun Manila masih kukuh mencengkam selatan Filipina misalnya penglibatan langsung Manila dalam pemilihan pimpinan MNLF. Farouk Husain dipilih sebagai pengganti Misuari, beliau juga terlibat aktif dalam rundingan dengan Abu Sayyaf suatu ketika dahulu manakala Misuari agak tenggelam dalam rundingan tersebut.
Kini Manila telah menemui pengganti Misuari dan akhirnya Misuari disingkirkan. Misuari bangun menentang lantas bersekongkol dengan Abu Sayyaf. Mengapa? Rata-rata menuduhnya sebagai gila kuasa. Namun adakah terlintas bahawa semua ini berlaku disebabkan kesengsaraan serta penindasan yang dideritai sekian lama walapun telah bergelar wilayah autonomi namun ia hanya pada nama. ARMM sebenarnya hanya wayang Manila untuk mengelabui mata dunia khasnya umat Islam.
YAB PM sendiri pernah mengatakan keganasan yang berleluasa sekarang terbit daripada ketidakpuasan hati umat Islam atas penganyiaan ke atas mereka dan untuk menyelesaikannya menurut beliau lagi ia perlu ditelusuri untuk melihat akar dan puncanya. Situasi ini sebenarnya yang berlaku di Filipina ketika ini, ia bukan isu keganasan semata namun saya melihatnya sebagai penentangan ke atas penganyiaan ke tas umat Islam di selatan Filipina. Kini timbul pula persoalan baru tatkala Presiden Arroyo menyatakan isu Misuari akan ditangani oleh Malaysia sendiri. Apakah ini semangat setiakawan Asean? Orang lain yang makan nangka lain yang terkena getahnya. Bukankah Misuari itu warga Filipina dan sewajarnya ditangani negaranya sendiri bukannya negara lain yang harus memikul beban. Kiranya benar Misuari telah mengkhianat negaranya mengapa Arroyo mengeluarkan kenyataan demikian? Apakah motifnya? Mengapa perlu Malaysia menanggung beban? Mungkiin Manila sengaja melepaskan Misuari ke Malaysia dan seterusnya meminta Malaysia menanganinya bagi menimbulkan kekhuatiran di kalangan rakyat Malaysia khususnya rakyat Sabah yang kini dibelenggu kebanjiran PTI. Misuari bukan orang sembarangan bukannnya warga picisan,beliau punya kekuatan dan pengaruh dan saya pasti hubungannya dengan warga Filipina di sini amat erat. Dengan kebanjiran PTI dan peningkatan kadar jenayah di Sabah. Bayangkan kes bunuh boleh berlaku terang-terangan di waktu siang (seperti yang berlaku di Sabah baru- baru ini) Terasa seperti berada di Filipina pula dimana rata -rata mereka terlalu 'berani'. Kiranya Misuari dipenjarakan di Malaysia dalam negeri Sabah, saya khuatir ini akan memburukkan lagi keadaan di negeri ini. Dengan jumlah mereka yang ramai di Sabah, saya khuatir pihak berkuasa tidak mampu mengawal keadaan.
Mungkin pandangan ini lucu dan keterlaluan dan ada yang berpendapat ia tidak masuk akal namun bagi mereka yang tinggal dan bermastautin di negeri Sabah ini pasti akan mengerti dan memahami kegusaran warga Sabah. Kalau tidak masakan kerajaan BN bawah pimpinan YAB Datuk Chong bermatlamat antaranya mengawal dan seterusnya mengatasi masalah PTI di negeri ini. Apakah ini juga tidak masuk akal dan keterlaluan? Berbanding dengan negeri-negeri lain saya yakin masalah PTI tidaklah separah yang Sabah hadapi. Mungkin dengan taktik lepas tangan ini, pihak tertentu berniat buruk untuk menguat cengkaman Manila ke atas Sabah.
Demi Allah, saya tidak rela bumi makmur ini terlepas! Justeru, saya berpendapat bahawa Misuari perlu diekstradisi ke Filipina secepat mungkin walaupun beliau telah melanggar undang-undang negara ini namun kes beliau ini agak istimewa kerana kedudukannya. Tidak perlulah kita menjadi pakturut dan bersikap umpama tiada beban batu digalas, seperti mendukung biawak hidup. Tidak perlulah mengambil risiko semata-mata untuk mendapat nama dan kemasyhuran sebagaimana tuduhan yang dilemparkan pada Misuari. Kesimpulannya, suasana global yang kian ruwet sewajarnya memberi pengajaran kepada umat Islam agar bersatu dan kembali kepada Al-Quran dan As-Sunnah sebagaimana sabda Rasulallah antara lain berbunyi: " Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, dan kiranya kamu pegang teguh padanya nescaya kamu tidak akan sesat selamanya; Al-Quran dan As- Sunnah." Buat seluruh warga Malaysia di Sabah, tinggalkanlah sikap berpecah belah dan mementingkan diri kembalilah pada suatu barisan, barisan bersatu yang teguh demi masa hadapan yang lebih cemerlang. Sesungguhnya hanya kita berupaya mengubah nasib bangsa dan bukannya orang lain. Sekian.
Augustus Caesar
(02 Dis 2001~ dec01v1)